Monday, October 12, 2009

IKTIBAR DI SEBALIK KEJADIAN

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakauh..
Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.


Kalau kita mengamati terjadinya bencana ataupun gempa yang sering terjadi akhir-akhir ini, sudah seharusnya kita menjadikannya sebuah iktibar dan muhasabah diri terhadap keadaan yang terjadi pada sekitar kita.

Mari kita lihat, peristiwa gempa yang terjadi akhir-akhir ini,

Gempa Tasikmalaya
Jam 15.04

Gempa Padang
Jam 17.16

Gempa Susulan Padang
Jam 17.58

Gempa Jambi
Jam 8.52

Mari kita lihat di dalam Al Qur'an, Surat dan ayat sesuai dengan saat-saat terjadinya gempa.

Gempa Tasikmalaya
Jam 15.04
Surat Al Hijr (Surah-15) ayat 04
"4. dan Kami tiada membinasakan sesuatu negeripun, melainkan ada baginya ketentuan masa yang telah ditetapkan."

Gempa Padang
Jam 17.16
Surat Al Israa’ (Surah-17) ayat 16
"16. dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, Maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, Maka sudah sepantasnya Berlaku terhadapnya Perkataan (ketentuan kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. ."

Gempa Susulan Padang
Jam 17.58
Surat Al Israa’ (Surah-17) ayat 58
"58. tak ada suatu negeripun (yang durhaka penduduknya) , melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuzh)."

Gempa Jambi
Jam 8.52
Surat Al Anfaal (Surah -8) ayat 52
"52. (keadaan mereka) serupa dengan Keadaan Fir'aun dan pengikut-pengikutny a serta orang-orang yang sebelumnya. mereka mengingkari ayat-ayat Allah, Maka Allah menyiksa mereka disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha kuat lagi Amat keras siksaan-Nya."

"MASIHKAH KITA DURHAKA KEPADA ALLAH, dan TIDAK MENTAATINYA?

Semoga Hidayah dan Taufik Allah senantiasa bersama orang-orang yang beriman!

Amin

AL-AZHAR HARAM PURDAH

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakauh..
Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.


Bising pasal isu al-Imam al-Akbar Al-Syeikh Sayyid al-Tantawi berhubung larangan memakai niqab (purdah). Khutbah di Majid al-Walidayn, Hayyu Asyir Kaherah juga membincangkan isu ini dengan menekankan agar umat Islam tidak cepat menghukum al-Syeikh Sayyid al-Tantawi semata-mata kerana hebahan media memandangkan banyak putar belit media dalam sebarang isu berkenaan dengan ulama besar ini.

Isu ini keluar di akhbar harian MAlaysia di metro (7 Oktober 2009) dan juga utusan malaysia..
Jadi,di sini dipaparkan kepada saudara pembaca berkenaan dengan pendirian Dar al-Ifta al-Misriyyah (Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir) berkenaan dengan isu Kedutaan Besar Malaysia Kaherah yang tidak membenarkan para mahasiswi Malaysia memakai purdah di dalam premis kedutaan.

Semoga beroleh manfaat.







TerJemaHan:-


"Tanyalah orang yang mengetahui sekiranya kamu semua tidak mengetahui". (Surah al-Nahl ayat 43)

Segala puji bagi Allah satu-satunya. Selawat dan salam buat Nabi yang tiada lagi nabi sesudahnya, Nabi Muhammad utusan Allah. Selawat dan salam juga buat ahli keluarga Rasulullah, para sahabat baginda dan sesiapa yang mengikuti baginda secara baik sehingga hari Kiamat.

Kami telah menerima permohonan fatwa daripada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) bertarikh 29/5/2007 yang bernombor 826 bagi tahun 2007 yang berbunyi:

Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telah menghalang para mahasiswi Malaysia yang menuntut di al-Azhar daripada memakai niqab (purdah) dengan alasan keselamatan dan takut daripada teroris, sedangkan kedutaan boleh untuk meminta mahasiswi tersebut untuk membuka niqab mereka sebelum mereka masuk ke premis kedutaan bagi mengenalpasti identiti mahasiswi berkenaan.

Persoalan di sini adalah: adakah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dibolehkan dari sudut Syarak untuk memaksa mahasiswi yang berniqab untuk berpegang dengan satu pandangan tertentu di dalam masalah yang berlaku perselisihan pandangan para fuqaha seperti masalah niqab? Apakah pendirian yang perlu diambil oleh para mahasiswi yang berniqab terhadap ketetapan yang diputuskan oleh pihak kedutaan?


Jawapan:

Sebagaimana yang dimaklumi bahawa masyarakat Malaysia secara umumnya bermazhab dengan mazhab Syafi`e Radhiallahu `Anhu. Di dalam mazgab Syafi`e, wanita yang merdeka yang telah baligh diwajibkan untuk menutup wajahnya daripada dilihat oleh lelaki ajnabi.

Di dalam kitab Hasyiah Jamal `Ala Syarh al-Manhaj sebagaimana yang juga tertera di dalam kitab Syarh al-Mahalli `Ala Minhaj al-Nawawi:

"Adapun aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi, maka seluruh badan".


Di dalam kitab Hawasyi al-Syarwani `Ala Tuhfat al-Muhtaj Libni Hajar `Ala Minhaj al-Nawawi dinyatakan:

"Dapat diketahui daripada kenyataan ini bahawa wanita yang merdeka mempunyai tiga aurat;

• Aurat di dalam solat iaitu apa yang telah dinyatakan sebelum ini
• Aurat apabila bersama dengan lelaki ajnabi iaitu seluruh badannya termasuklah wajahnya dan dua tapak tangannya berdasarkan pandangan yang muktamad (pandangan yang kuat)
• Aurat apabila dia berseorang diri atau ketika bersama dengan mahramnya iaitu sama seperti aurat lelaki."


Di dalam kitab Hasyiah Bijirmi `Ala al-Khatib dinyatakan:

"Adapun aurat wanita di luar solat apabila ada bersama dengan lelaki ajnabi, maka auratnya adalah seluruh badannya termasuklah muka dan dua tapak tangan sekalipun ketika aman daripada fitnah".

Maka berdasarkan soalan yang dikemukakan, dapatlah dinyatakan bahawa pihak berkuasa boleh untuk mengambil pendekatan dari sudut keselamatan, mengenal pasti identiti, kaji selidik dan siasatan bagi memastikan keamanan pihak berkuasa. Antaranya adalah meminta agar wanita yang berniqab menunjukkan wajahnya ketika mereka ingin masuk ke dalam premis kedutaan tanpa perlu untuk pihak kedutaan memaksa mereka untuk menanggalkan niqab mereka di dalam premis kedutaan kerana premis kedutaan adalah kawasan umum bagi setiap warganegara.

Wallahu Subhanahu Wataala A'lam.


Ditandatangani oleh tenaga fatwa,

Muhammad Wusam Abbas, Muhammad Syalabi dan Imad al-Din Ahmad `Iffat.

Tarikh: 30/5/2007.

SumBer:- Ust Hairul Nizam


JGN PUTUS ASA DR RAHMAT ALLAH

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakauh..
Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.


Dunia hari ini tidaklah keterlaluan jika ia disifatkan sebagai dunia yang liar atau asing. Liar dan asing kerana ia tampak begitu berjaya mengasingkan rasa kasih dan cinta kepada al-Khaliq dari benak hati manusia hingga tidak lagi gemar berjinak-jinak dengan Allah SWT.

Akhirnya, segala bentuk cinta dunia yang bersifat sementara pantas mengambil alih takhta di hati manusia. Sehingga cinta palsu menyumbang kepada segala kejahatan dan kerosakan di muka bumi.

Dalam mengingatkan kita mengenai fenomena ini, Sheikh Abu Madyan r.a ada menyatakan yang bermaksud: "Barang siapa yang sibuk dengan tuntutannya terhadap dunia, nescaya dibalakan dengan kehinaan di dalamnya". (Lata'if al Minan fi Syarh Hikam Abi Madyan).

Maka di antara bentuk kehinaan itu ialah dipalingkan hati dari merasakan dirinya mendapat bahagian cinta dari Allah SWT dan menyebabkan hilangnya rasa baik sangka terhadap-Nya.

Namun, sejauh manapun manusia itu memalingkan hatinya dari mengingati Pencipta-Nya, tetap jua Pencipta itu mencurahkan belas rahmat, ihsan dan kasih-Nya yang tidak berbelah bahagi. Walaupun pada setiap saat dan waktu hamba-hamba- Nya berterusan melakukan maksiat dan mengingkari suruhan-Nya.

Hal ini, menunjukkan kehebatan dan kebesaran kasih dan cinta Allah SWT terhadap kita semua.


Walau demikian, sehebat manapun cahaya cinta ilahi di sekeliling kita, ia tidak akan menyinari kehidupan mereka buta mata hatinya. Inilah yang menjadikan jiwa insan kosong dan sunyi walaupun dikelilingi harta kemewahan, anak-pinak dan sahabat handai.

Situasi ini menjadikan dirinya berasa terbeban menunaikan pentaklifan syarak lantaran jiwanya yang kosong dari nikmat bermesra dan bermunajat ke hadrat Allah SWT. Situasi malang ini mungkin turut melanda para agamawan jika sentuhan manhaj atau madrasah cinta ilahi ini tidak mereka temukan dan terapkan dalam perjalanan mereka.

Pelbagai Jelmaan Cinta al-Khaliq

Di antara kunci menemukan sentuhan cinta Ilahi adalah dengan kita bertafakur tentang pelbagai hakikat keluasan cinta-Nya itu. Sesungguhnya seluas mana pun rasa cinta dan kasih yang dipersembahkan oleh makhluk kepada al-Khaliq tidak sedikit pun mampu menyaingi setitis kasih Allah terhadap hamba-Nya.

Yang demikian itu adalah sifat Allah Yang Mulia di mana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.

Keharuman kasih Allah SWT kepada manusia turut tersebar wangiannya melalui perutusan Sayyid al-Mursalin Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman, maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kurniaan-Nya ke atas orang-orang beriman tatkala mengutuskan buat mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri." (Ali-'Imran 3:164)

Baginda SAW adalah makhluk yang menyebarkan rasa kasih dan kerahmatan ini melalui mutiara kalam, perilaku dan akhlaknya. Maha Suci Allah yang telah mengutus Baginda SAW sebagai penyempurna bagi kemuncak akhlak yang mulia. Baginda SAW bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia".

Walaupun Allah SWT berhak menzahirkan kedudukan-Nya sebagai Khaliq dan Rabb dengan apa cara yang dikehendai-Nya, kita akhirnya menerima risalah-Nya melalui sentuhan cinta makhluk pilihan-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Melalui risalah rahmat dan mahabbah (kasih sayang) itu, segala makhluk di muka bumi ini dapat menadah titis-titis rahmat dan kasih Allah SWT mengikut sekadar mana yang diizinkan oleh-Nya. Mereka yang kafir tetap diberi peluang mendengar, meneliti, merenung dan mencari jalan hidayah serta tidak terus diazab berdasarkan kekufurannya.

Kaum munafik tidak diperintahkan agar dibunuh. Bahkan selagi lidahnya menyaksikan "Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah", maka darah dan hartanya terpelihara di sisi Islam walaupun hakikat kesudahan mereka adalah di tingkat terbawah dari tingkatan neraka.

Demikian juga bagi kaum yang fasiq. Mereka diberi ruang dan peluang mencari jalan hidayah sepanjang kehidupannya dan bertaubat membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, tanpa diturunkan azab secara terus seperti mana yang melanda umat nabi-nabi terdahulu.

Inilah sikap pemurah dan belas ihsan Allah SWT kepada makhluk-Nya, sedangkan Allah SWT tidak sedikitpun berkehendak atau perlu kepada makhluk-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud: "Wahai hamba-hamba- Ku, kalian tidak akan dapat menggunakan sesuatu kemudaratan untuk memudaratkan- Ku dan tidak akan dapat menggunakan sesuatu yang bermanfaat untuk memberikan sesuatu manfaat kepada-Ku".

Melalui hadis qudsi ini Allah SWT menerangkan bahawa setiap maksiat hamba-Nya itu tidak sedikitpun dapat menggoncang kerajaan dan kekuasaan-Nya atau mengurangkan kehebatan-Nya. Dan setiap ibadat hamba-Nya itu tidak sedikitpun memberi manfaat kepada-Nya.

Bahkan kekallah kerajaan Allah SWT gagah perkasa dan berdiri dengan sendiri-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk-makhluk- Nya.

Maka hakikat sebenar Allah SWT memerintahkan hamba beribadat dan menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya ialah demi kasih sayang dan rahmat-Nya. Ia agar manfaat semua itu kembali kepada para hamba-Nya, juga untuk faedah dan kebaikan mereka sendiri di dunia dan di akhirat.

Peringatan inilah yang zahir dalam firman Allah, "Dan barang siapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam." (Al-Ankabut 29:6)

Di antara tanda cinta Allah SWT kepada hamba-hamba- Nya juga, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.

Malah, Allah SWT melarang para hamba-Nya berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang "(Al-Zumar 39:53)

Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.

Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis qudsi: "Wahai hamba-hamba- Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian".

Memperbanyakkan istighfar dan taubat juga adalah tanda seorang mukmin yang benar dan sempurna dalam keimanannya. Oleh kerana itulah, sekalipun Baginda SAW terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat, Baginda melazimi istighfar dengan jumlah yang banyak setiap hari.

Menurut Sheikh al Islam Imam al Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud r.a, Nabi SAW beristighfar bukan kerana melakukan dosa dan kelalaiannya sebab adalah mustahil bagi kedudukan dan darjat Baginda SAW. Sebaliknya, istighfar Baginda SAW adalah istighfar ibadah sebagai suatu munajat dan berlazat-lazat dalam pengabdiannya kepada Allah SWT.

Inilah suatu sisi daripada gambaran keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah SAW bagi sesiapa yang telah dibukakan oleh Allah SWT pintu untuk mengenali-Nya.

Cinta al-Khaliq terhadap makhluk juga, seperti yang dipetik dari kalam Nubuwwah, lebih hebat daripada kasih seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh menjaga, mempertahankan dan menjamin keselamatan bayinya yang masih kecil.

Jika kasih ibu dipuja dan dinobatkan begitu tinggi oleh manusia tanpa mengira agama, maka seharusnya cinta dan kasih Tuhan itu lebih dipuji, dipuja dan didaulatkan. Justeru, wajarlah cinta ilahi itu dibalas dengan rasa pengagungan, taat setia dan menjunjung perintah dengan penuh keikhlasan, keazaman dan keluhuran budi.

Para penghulu salafussoleh yang telah sekian lama meninggalkan kita telah pun mengecapi nikmat ini. Nikmat berlazat-lazatan dalam mencintai Allah SWT dan Allah SWT pula mencintai mereka.

Munajat dan rintihan mereka menjadi perhiasan malam hari dalam usaha mendamba kasih-Nya. Mereka benar-benar telah mendambakan cinta dan kasih al-Khaliq. Cahaya kasih itu pula terpancar dari kalam nasihat dan bicara mereka buat umat.

Bicara, nasihat dan pedoman mereka terbit dari hati yang telah disirami dengan cinta al-Khaliq. Lantas apa yang disampaikan benar-benar membekas di hati para pendengarnya. Lalu diamalkan dan dijadikan sebagai manhaj ikutan dalam kehidupan sehingga ke hari ini.

Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari cahaya kasih dan cinta Allah SWT.

Maka tiada lagi pilihan bagi golongan beriman selain berusaha mencari jalan memburu kasih dan cinta-Nya. Terdapat pelbagai jalan melalui amal kebajikan dan peribadatan untuk meraih kasih-Nya, sebanyak nafas yang keluar masuk di jasad insan.

Memburu cinta Allah juga bererti memburu cinta para kekasih Allah yang boleh menyampaikan kita kepada Allah. Apabila kita dihimpunkan bersama para kekasih Allah SWT yang benar-benar mendapat pandangan khusus dan inayah-Nya, pada saat itulah segala kalam bicara, tindak-tanduk dan seruan kita menjadi cerminan bagi sunnah Penghulu Segala Rasul, Sayyiduna Muhammad SAW.

Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta ilahi. Cinta Tuhan Yang Maha Tinggi, yang menyifatkan sifat cinta, kasih dan rahmat pada diri-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan Dialah Yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmat-Nya. Dan Dialah Yang Maha Pelindung lagi Maha Terpuji. "(Asy-Syura 42:28)..

Wallahu a'lam.

AZIMAT BUAT LELAKI

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakauh..
Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.



Wahai insan bernama lelaki, renungilah pedoman di bawah sebagai panduan menjalani kehidupan yang semakin mencabar zaman ini.

1. KETIKA MENCARI CALON

Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR

Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis,tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH

Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu,tetapi menikah di hadapan Allah

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN

Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana
menyia-nyiakan do'a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA

Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.


6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA

Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalanbertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak danduri.

7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG

Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justru semakin erat berpegang tangan

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK.

Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK.

Jangan bagi cinta anda kepada (suami) isteri dan anak anda,tetapi cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10.KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM

Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11.KETIKA EKONOMI BERKEMBANG

Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita

12.KETIKA ANDA ADALAH SUAMI

Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggung jawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.

13.KETIKA ANDA ADALAH ISTERI

Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.

14.KETIKA MENDIDIK ANAK

Jangan pernah berpikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak,kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak ....

15.KETIKA ANAK BERMASALAH

Yakinilah bahawa tidak ada seorang anakpun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya.

16.KETIKA ADA PIL.

Jangan diminum, cukuplah suami, isteri sebagai ubat.

17.KETIKA INGIN AMAN DAN HARMONIS

Gunakanlah formula 7 K :-

1 Ketaqwaan
2 Kasih sayang
3 Kesetiaan
4 Komunikasi dialogis
5 Keterbukaan
6 Kejujuran
7 Kesabaran

Wallahu A'lam.
.:: KEMBARA INSAN MENCARI TUHAN YANG MAHA ESA ::.