Friday, September 4, 2009

NILAI RAMADHAN & TUNTUTANNYA

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakauh..
Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.


"Wahai orang yang beriman!, jika kamu bertakwa kepada allah, nescaya dia akan mengadakan bagi kamu pembezaan (antara yang benar dengan yang salah) dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampuni (dosa-dosa) kamu.Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurniaan yang besar". (AL Anfal 8:29)

Pengajaran dan kelebihan ramadhan semoga tidak lenyap dan tidak dilupakan.Kemeriahan untuk menyambut hariraya diharap tidak menenggelamkan kesan ibadat puasa,terawih, qiamullail, tadarus al-quran sepanjang ramadhan.Sepatutnya umat islam tidak terlalu pantas dan terlalu mudah cair dengan keseronokkan menyambut hari lebaran!, yang paling penting,umat islam diperintah dalam apa pun keadaan supaya menyempurnakan ibadat puasanya dengan sebaik-baik ibadat hingga keakhir ramadhan.

Apabila allah s.w.t memerintahkan umat islam supaya membesarkan allah, bukan bermakna hariraya itu lebih utama sehingga solat terawih dimasjid dan surau ditinggalkan .Maka tinggallah imam,bilal dan sebilangan kecil makmum yang masih setia.Semarak ramadhan bertukar dengan program menyambut hari lebaran.Seolah- olah ia lebih penting dari membesarkan allah,sedangkan allah berfirman:

"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur" . (Al-Baqarah 2:185)


Rasulullah telah pun mengajar umatnya bagaimana cara menyemarakkan akhir ramadhan.Baginda beriktikaf di masjid dan tidak meninggalkan tempat iktikafnya, kecuali kerana menunaikan qada' hajat.


Saidatina aisyah r.a meriwayatkan:
"Sesungguhnya rasulullah s.a.w adalah beriktikaf pada sepuluh akhir ramadhan hingga baginda wafat,kemudian selepas itu isteri-isteri baginda juga beriktikaf."

Rasulullah s.a.w beriktikaf sepuluh akhir ramadhan dengan berwirid,berzikir ,membaca al-quran,beristighfar dan mendirikan solat-solat sunat.Rukuk dan sujud bermunajat memuji allah, sebagai seorang hamba yang terlalu hampir dengan allah s.w.t..Samalah seperti baginda beruzlah digua hira'.

Firman allah s.w.t:
"(Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati allah semasa mereka berdiri,duduk dan semasa mereka berbaribg mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "wahai tuhan kami!, tidaklah engkau menjadikan kesemua ini dengan sia-sia.Maha suci engkau,maka peliharalah kami daripada azab neraka". (Ali ImraN 3:191)

Persiapan amalan mantap umat islam sepanjang ramadhan,merupakan masdrasah paling berkesan dalam membina rohani dan jasmani,mampu bersabar dengan segala kekurangan,kesusahan,kesakitan dan kesempitan hidup.

Sabda rasulullah s.a.w:
"Barangsiapa berpuasa pada bulan ramadhan dengan penuh keimanan,kesungguhan dan mengharapkan balasan, maka sesungguhnya diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu".

Ramadhan berjaya mendidik umat islam yang berpuasa menjadi umat yang kuat, berani dan berwawasan.Perang Badar Kubra adalah berlaku tahun kedua hijrah pada 10 ramadhan.Sekali pun tentera kafir lengkap dengan peralatan perang.Namun dengan pertolongan allah mereka bergerak bersama rasulullah kelembah badar,mereka berkhemah,berjaga malam,menyerahkan diri kepada allah. Ketika rasulullah memantau persiapan mereka, bukan pedang yang mereka asah, jauh sekali untuk tidur mengumpul kekuatan tenaga, tetapi dengan khusyuk mereka bertawajuh dan bermunajat memantapkan roh, bertahajud memperkuatkan tekad, berjihad untuk menggempur musuh sebelum subuh.Akhirnya mereka diberikan kemenangan oleh allah s.w.t.Begitulah nilai tahajud dan munajat ramadhan yang diberikan pertolongan allah.

Firman allah s.w.t:
"Berapa banyak (yang telah terjadi) golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin allah dan allah (sentiasa) bersama-sama orang yang sabar". (Al-baqarah 2:249)


Tentera mesir yang tidak pernah menang menentang yahudi,apabila memilih bulan ramadhan untuk berperang,lalu membina displin tenteranya dibulan yang mulia ini,maka pada 6 oktober 1973 bersamaan 10 ramadhan 1393 hijrah tentera mesir berjaya menawan kubu faluja jauh keseberang terusan suez yang dikuasai yahudi.Inilah nilai kekuatan yang berjaya dibina melalui tarbiah ramadhan.

Tarbiah ramadhan berjaya membentuk individu dengan nilai kekuatan iman,ketakwaan dan keberanian.Sejarah telah membuktikan umat islam kuat di bulan ramadhan.Pembukaan kota mekah adalah berlaku pada 20 ramadhan tahun 8 hijrah,kemenangan peperangan tabuk melawan rom timur (Byzantine) adalah berlaku pada bulan ramadhan tahun 9 hijrah.Kejayaan saidina ali bin abi talib yang diutus ke yaman hanya dalam sehari menyaksikan kesemua kabilah hamdan masuk islam adalah berlaku pada ramadhan 10 hijrah.Tariq bin Ziad berjaya mengalahkan Roderick dan menakluk cardova dan granada berlaku pada ramadhan 92 hijrah.Solehuddin al-ayubi berjaya mengalahkan tentera salib dan membebaskan baitul makdis juga pada bulan ramadhan 548 hijrah,semua kejayaan tersebut berlaku pada bulan ramadhan, di saat umat islam lapar dan dahaga berpuasa.

Dengan berpuasa di siang hari, bertarawih dan bertahajud pada malamnya,umat islam mampu memikul tanggungjawab yang diperintahkan oleh allah dengan mengambil al-quran sebagai petunjuk hidupnya.Al-quran dihayati,diamal dan dibuktikan dalam sistem kehidupan berkeluarga, berurus niaga,bermasyarakat dan bernegara.Dengan pelaksanaan tersebut,umat islam pasti dilihat berbeza keadaan hidupnya dengan umat yang mundur.Bahkan dapat membezakan ketentuan hidup selepas matinya antara dosa dan pahala,mampu membezakan pilihan hidup akhiratnya samada mahu kesyurga atau keneraka.Itulah nilai kehidupan yang praktis.

Kerana itu wajarlah ganjaran seribu bulan dimalam al-qadar itu,diberikan kepada sesiapa yang sabar melalui tarbiah sepanjang ramadhan.Nilai yang besar kepada hambanya yang akur menerima al-quran sebagai panduan,diamal dalam penghayatan dan dibuktikan pilihan yang tepat dan benar.Perbezaan yang tinggi nilainya untuk hidup didunia mahu pun untuk akhiratnya.

Firman allah dalam surah al-qadar ayat 1-3:
"Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-quran) ini pada malam al-qadar,dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-qadar itu?.Malam al-qadar itu lebih baik daripada seribu bulan".


:: Jadi di sini ada tiga nilai pengajaran yang sangat penting untuk diambil perhatian ::

Pertama - Nilai ibadat yang besar pahalanya,dikurniakan allah pada amalan puasa,terawih, tadarus al-quran,tahajud, sedekah dan bertawajjuh terutama di malam al-qadar dengan ganjaran yang lebih baik dari seribu bulan.

Kedua- Nilai pengajaran perang badar kubra, bukan sahaja sibuk dengan pelaksanaan hukum-hukum allah yang baru berusia setahun,bukan sahaja baru pindah berhijrah ke madinah,tempat yang belum pasti kekuatan,sokongan dan kepercayaan. Bukan sahaja terpaksa berperang mempertahankan negara yang baru ditubuhkan dengan kelengkapan yang serba kurang,sehingga ketika rasulullah menyelinap masuk khemah tenteranya dengan penuh syahdu,rasulullah mengadu kepada allah:

"Ya- allah!, kalau sekiranya pasukan ini sampai hari ini, maka tidak akan ada lagi orang yang menyembah engkau dibumi ini, ya-allah!!, tunaikanlah janjimu yang engkau berikan kepadaku, ya-allah!!, berilah pertolonganmu ya-allah!".

Betapa tinggi nilai harga munajat rasulullah s.a.w itu kepada kita hari ini, kepada umat islam seluruhnya.Tanpa perkenan allah ke atas munajat baginda,kita tidak akan pernah melihat sebuah negara dan pemerintahan islam di dunia islam.Tanpa perkenan allah ke atas munajat baginda itu, tidak adalah manusia yang menyembah allah seperti sekarang ini.Begitulah tingginya nilai usaha munajat rasulullah s.a.w ketika itu.

Ketiga - Nilai yang paling berharga,lebih dari malam al-qadar,lebih dari pengajaran badar.Iaitu nilai Al-Quran yang allah turunkan.Yang turunnya dipilih allah pada bulan ramadhan.Bulan dimana hati umat islam telah di tarbiyah supaya lembut dan akur menerimanya. Apa ertinya umat islam dapat al-qadar sekiranya al-quran ditinggalkan dalam kehidupan berjamaah,berkeluarga dan bermasyarakat. Apa untungnya umat islam maju,berjaya membangun ekonomi,pendidikan dan pemerintahan, sekiranya al-quran tidak dijadikan sebagai petunjuk dan panduan,yang dibuktikan dalam penghayatan dan amalan sebagai perbezaan yang dapat dilihat secara praktis untuk dipilih,samada umat islam mahu hidup dalam hak atau bathil,benar atau sesat,mahu hidup dalam syurga atau neraka.


Firman Allah s.w.t :-
"Wahai orang yang beriman!, jika kamu bertakwa kepada allah, nescaya dia akan mengadakan bagi kamu pembezaan (antara yang benar dengan yang salah) dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampuni (dosa-dosa) kamu, Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar". (AL Anfal 8:29)

Ya-allah, engkaulah tuhan yang maha berkuasa,kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat islam .Justeru kami pohon kehadratmu ya-allah, tetapkanlah iman kami,tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami,murahkanlah rezeki kami,kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,suburkan lah jiwa kami dengan budipekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami kejalan yang engkau redhai,lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar,kemarau panjang,wabak penyakit ,persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian,negera kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Wallahu A'lam..

0 Komentar:

.:: KEMBARA INSAN MENCARI TUHAN YANG MAHA ESA ::.