Friday, May 13, 2011

UKHWAH ITU INDAH KERANA ALLAH S.W.T

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakauh..
Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.



Alhamdulillah,segala pujian bagi Allah masih memberi nikmat sihat dan lapang, dua nikmat yang sering dilalaikan kebanyakan manusia termasuklah diri ini. Alhamdulillah selesai sudah DPMT league yang telah berlangsung selama 5 hari di istad tanta, moga-moga dengan riadhoh(sukan) jasmani ini memupuk lebih lagi kerajinan untuk melakukan ibadah kepada Allah s.w.t selaku hambanya di atas muka bumi ini.

"Akal yang cerdas dari tubuh badan yang sihat".

Sudah lama rasanya diri tidak menulis di laman sesawang ini, entah kenapa hati terasa ingin menulis dinihari ini. Begitu tenang,moga ada hikmah ilahiyah di sebaliknya.

Seandainya kita mahu Allah memaafkan kita, kita hendaklah senantiasa menjadi seorang pemaaf apabila berlaku perselisihan dalam pergaulan dan sewajarnyalah jua kita memaafkan orang lain rela melupakan kesalahan-kesalahan mereka. Ini merupakan sebahagian daripada maksud berbuat baik kepada insan lain. Allah menerangkan ciri hamba-hambaNya yang beriman:

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), pada waktu lapang mahupun sempit, orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang melakukan kebaikan. (Ali Imran 3: 134).

Bahkan, Allah berfirman:

وَلَا يَأْتَلِ أُوْلُوا الْفَضْلِ مِنكُمْ وَالسَّعَةِ أَن يُؤْتُوا أُوْلِي الْقُرْبَى وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An Nur 24: 22).

Kesemua amal kebajikan akan menjadikan kita semakin akrab dengan Allah, terutamanya kebaikan yang dilakukan kepada insan lain. Kita sepatutnya melakukan kebaikan kepada semua makhluk sebagaimana dilakukan kepada semua insan. Tidak kira sama ada kebaikan ini datang dalam bentuk akhlak yang baik, menjaga adab pergaulan,tidak menyakiti hati mana-mana insan,berkongsi harta, membantu insan lain menggunakan kemampuan dan pengaruh kita, atau mendoakan mereka. Antara contoh akhlak baik, mereka yang memberi hutang dan memaafkan si pemiutang tatkala kesusahan yang dialami si pemiutang untuk menjelaskan hutangnya.

وعنْ أبي هُريرةَ ، رضي اللَّه عَنْهُ ، أنَّ رَسُول اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قَالَ : « كَانَ رجلٌ يُدايِنُ النَّاسَ ، وَكَان يَقُولُ لِفَتَاهُ : إذا أَتَيْتَ مُعْسِراً فَتَجاوزْ عَنْهُ ، لَعلَّ اللَّه أنْ يَتجاوزَ عنَّا فَلقِي اللَّه فَتَجاوَزَ عنْهُ » متفقٌ عَليهِ .
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Terdapat seseorang yang sering memberi hutang. dia akan berkata kepada pembantunya: Maafkan mereka daripada hutang tersebut, boleh jadi Allah akan memaafkan kita. Lelaki itu bertemu Allah (meninggal dunia), Lalu Allah benar-benar Mengampuni dia. [Sahih al-Bukhari (3246) dan Muslim (2930)]


Sifat memaafkan orang lain, bertolak ansur, dan bermurah hati patut menjadi panduan di dalam kita melayani orang lain. Kita hendaklah berusaha untuk melupakan kesalahan insan lain. Kekadang kita perlu juga berkorban melepaskan hak kita pada masa-masa tertentu. Tidak sepatutnya kita sentiasa menuntut hak kita. Semua perhubungan terbina dengan sifat tolak ansur.

Sifat ini mesti dilakukan kepada sesiapa sahaja yang berinteraksi dengan kita. Itulah cara yang sewajarnya di dalam hubungan rakan dan sahabat,antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, guru dan murid, pemerintah dan rakyat. Di dalam setiap hubungan ini, terdapat hak dan kewajipan, dan kita mesti melakukan yang terbaik untuk menunaikannya. Walau bagaimanapun, di dalam setiap perhubungan,pergaulan kadang kala tetap berlaku kesilapan dan perselisihan faham. Kemaafan dan kesabaran akan membawa keharmonian dan kasih sayang di dalam setiap perhubungan.

Bertoleransi dan bermurah hati, akan mengutuhkan perhubungan dan meninggikan nilai harga diri manusia. Dengan izin Allah, sifat ini akan menjadikan interaksi kita lebih berjaya dan pastinya menjadikan ia lebih diredhai Allah.

Marilah selalu kita beramal dengan sunnah-sunnah junjungan nabi s.a.w kita yang ditinggalkan buat umat sekalian.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Muslim itu adalah seorang yang menyelamatkan(atau menyejahterakan) muslim yang lain dengan lisannya(percakapan) dan tangannya" (Shahih Bukhari Kitab Iman)

Rasulullah s.a.w bersabda :
" Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbicara yang baik atau diam. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia memuliakan tetangganya. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya" (Shahih Bukhari Kitab Adab).

Rasulullah s.a.w bersabda :
" Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu” (Sunan Ibnu Majah)

Akhir kalam, mohon doa kalian untuk diri ini yang akan menempuh gerbang imtihan. Semoga kejayaan diberikan kepada kita semua samaada dalam imtihan,pergaulan,kehidupan di dunia dan kejayaan yang terbesar adalah kejayaan di akhirat kelak.

اللهم أسلمت نفسي إليك,وفوضت أمري إليك,ووجهت وجهي إليك,وألجأت ظهري إليك,رغبة ورهبة إليك,لا ملجأ ولا منجا منك إلا إليك,آمنت بكتابك الذي أنزلت وبنبيك الذي أرسلت "
‎" Ya Allah aku menyerahkan diriku kepada-MU, aku menyerahkan urusanku kepada-MU, aku menghadapkan wajahku kepada-MU, aku menyandarkan belakangku kepada-MU, kerana senang (mendapatkan rahmat-MU), dan takut pada (siksaan-MU, bila melakukan kesalahan). Tidak ada tempat perlindungan dan penyelamatan dari (ancaman-MU) kecuali hanya kepada-MU. Aku beriman kepada kitab yang telah engkau turunkan, dan kebenaran nabi-MU yang telah engkau utus".

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda kpd org yg membaca doa ini, " jika kamu mati, maka kamu mati di atas fitrah (agama islam)". HR Al-Bukhari

Wallahu A'lam.

0 Komentar:

.:: KEMBARA INSAN MENCARI TUHAN YANG MAHA ESA ::.